Sara Hidup
Bantuan Kewangan dan Sokongan Tempat Kerja
Bantuan Kewangan
Dalam kes-kes yang luar biasa, UNHCR bekerjasama dengan dua NGO rakan kongsi untuk memberi bantuan kewangan jangka pendek kepada isi rumah pelarian dan pemohon suaka yang berisiko dan tidak mempunyai cara lain untuk memenuhi keperluan asas mereka. NGO-NGO ini, Tzu-Chi Foundation (TCF) dan Malaysian Relief Agency (MRA), membantu UNHCR menilai keperluan isi rumah ini dan menyediakan bantuan kewangan kepada mereka yang paling memerlukan.
UNHCR tidak dapat memberi bantuan jangka panjang. Bantuan kewangan adalah sementara. Isi rumah yang layak biasanya menerima bantuan selama satu hingga tiga bulan untuk menampung keperluan asas mereka. Bantuan kewangan tidak tersedia untuk kos perubatan, tetapi sila baca halaman perkhidmatan kesihatan untuk mendapatkan maklumat tentang bantuan kewangan bagi kos hospital atau pembedahan.
UNHCR menerima permohonan bantuan kewangan secara langsung daripada pelarian dan pemohon suaka atau melalui rujukan daripada rakan kongsi, penyedia perkhidmatan dan organisasi komuniti pelarian. Jika anda tiada cara lain untuk membuat permohonan, anda boleh menghantar borang dalam talian ini.
Permohonan diutamakan untuk penilaian berdasarkan banyak faktor, termasuk keupayaan isi rumah untuk menjana pendapatan, keperluan tertentu, saiz isi rumah dan keadaan yang mendesak. Tidak semua permohonan akan dinilai. Jika anda tidak menerima maklum balas daripada rakan kongsi kami dalam masa dua bulan, anda boleh menganggap bahawa permintaan anda tidak akan dinilai dan tiada bantuan kewangan akan diberikan kepada anda.
Jika permintaan anda dinilai, TCF atau MRA akan menghubungi anda. Mereka akan mengaturkan lawatan ke rumah anda untuk penilaian. Sekiranya situasi COVID-19 semakin teruk, penilaian akan dibuat melalui telefon untuk menggantikan lawatan ke rumah.
TCF atau MRA akan melawat anda di rumah dan menjalankan temubual ringkas berkenaan keadaan kehidupan dan cabaran yang mungkin anda alami. TCF atau MRA akan beritahu hasil penilaian dalam tempoh satu bulan selepas menemu duga anda. Jika anda layak mendapat bantuan kewangan, mereka akan membuat temujanji untuk berjumpa dengan anda bagi menyampaikan bantuan tunai. Anda juga akan dimaklumkan oleh rakan kongsi jika anda tidak layak untuk bantuan kewangan.
Jika anda pernah menerima bantuan kewangan sebelum ini atau pernah dinilai dan didapati tidak layak dan ingin memohon semula, anda boleh menghantar permohonan baru. Anda mungkin dirujuk untuk penilaian kelayakan lain, tetapi permohonan daripada pelarian dan pemohon suaka lain yang masih belum dinilai akan lebih diutamakan berbanding mereka yang telah dinilai dan/atau menerima bantuan.
Jika sebelum ini anda dinilai tidak layak untuk mendapat bantuan kewangan, permohonan baru tidak akan dinilai melainkan terdapat perubahan yang ketara pada keadaan anda, seperti keadaan hidup atau kesihatan yang merosot atau kehilangan punca pendapatan.
Membuka Akaun Bank
UNHCR tidak dapat membuka akaun bank untuk pelarian dan pemohon suaka. Pelarian dan pemohon suaka boleh terus menghubungi bank untuk memohon membuka akaun bank, tetapi perlu menunjukkan kepada bank dokumen-dokumen berikut:
- Dokumen asal UNHCR dengan tempoh sah lebih daripada enam bulan.
- Surat sokongan daripada majikan mengikut templat ini.
- Surat Sokongan daripada UNHCR
Kebiasaannya, bukti pekerjaan diperlukan untuk permohonan membuka akaun bank. Jika anda tidak dapat menunjukkan dokumen-dokumen ini, anda perlu menyemak dengan cawangan bank tersebut jika anda boleh memberikan dokumen sokongan lain.
Tidak semua bank akan membenarkan pelarian dan pemohon suaka membuka akaun bank, tetapi CIMB Bank mempertimbangkan permintaan daripada pelarian dan pemohon suaka. Anda harus menghubungi cawangan bank di mana majikan anda telah membuka akaun bank, atau cawangan bank yang terdekat dengan tempat kerja atau rumah anda. Anda perlu mencari cawangan bank yang akan menerima permohonan anda dengan pergi dan membuat pertanyaan di kaunter bank tersebut.
Kelulusan atau penolakan permohonan anda terpulang kepada cawangan bank itu sendiri. UNHCR tidak dapat membantu anda dalam proses ini. Jika cawangan tersebut telah menolak permohonan anda, anda boleh cuba untuk berhubung dengan cawangan lain, atau mempertimbangkan pilihan lain seperti penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank. Terdapat beberapa penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank yang dikawal oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang menawarkan perkhidmatan seperti e-wallet dan kad prabayar VISA atau Mastercard.
Sila isi borang ini jika anda ingin meminta surat sokongan UNHCR untuk pembukaan akaun bank, atau jika anda sudah mempunyai akaun bank dan memerlukan bantuan UNHCR untuk menyelesaikan masalah dengan bank anda, sila berikan maklumat hubungan cawangan bank, seperti nama dan alamat e-mel kakitangan bank.
Masalah Tempat Kerja
UNHCR bekerjasama dengan beberapa rakan kongsi untuk memberikan bantuan kepada individu yang mempunyai pertikaian tempat kerja atau pekerjaan, seperti:
- Anda tidak dibayar oleh majikan untuk kerja yang telah anda lakukan
- Gaji anda dipotong secara tidak adil oleh majikan anda
- Anda telah diberhentikan kerja oleh majikan tanpa alasan yang kukuh
- Anda didera secara fizikal atau mental oleh majikan anda
- Majikan anda menyimpan dokumen UNHCR dan dokumen lain dan enggan memulangkannya kepada anda
Jika anda mengalami masalah seperti ini di tempat kerja anda, atau memerlukan nasihat tentang isu-isu di tempat kerja, anda boleh menghubungi pemberi perkhidmatan berikut:
Hotlines: +60322015438 / +60322015439 / +60172094059 (WhatsApp)
Operating Hours: 9:00am-3:00pm, Monday to Friday
24-hour Hotline: +6012 335 0512 / +6012 339 5350
Sekiranya anda mengalami kecederaan di tangan majikan anda, anda digalakkan untuk membuat laporan polis. Jika anda pernah mengalami keganasan atau penderaan berdasarkan jantina di tempat kerja anda, sila baca halaman keganasan berdasarkan jantina untuk mengetahui tentang sokongan yang tersedia.
Jika anda menghubungi pemberi perkhidmatan, sangat penting untuk anda memberikan maklumat pekerjaan seperti:
- Tugas untuk jawatan anda
- Nama pendaftaran syarikat/perniagaan
- Nama majikan dan nombor telefon
- Alamat tempat kerja
- Tarikh mula dan berhenti kerja
- Bilangan hari/bulan cuti dan bilangan jam bekerja seminggu
- Jumlah gaji dan kadar bayaran lebih masa
- Bilangan pekerja yang bekerja di syarikat
Anda juga harus cuba menyimpan sebarang dokumen yang berkaitan dengan kerja anda, seperti:
- Kontrak pekerjaan
- Slip gaji
- Kontrak ejen
- Kad masa (timecard)
Maklumat perniagaan
Syarikat/Majikan di Malaysia selalu bertanya sama ada dokumen pengenalan UNHCR berfungsi sebagai permit kerja. Dokumen UNHCR hanya mempunyai satu tujuan: untuk mengiktiraf keperluan pelarian dan pemohon suaka untuk perlindungan antarabangsa dan melindungi individu daripada risiko dihantar pulang ke negara asalnya di mana kebebasan atau nyawa mereka boleh terancam. Dokumen UNHCR tidak berfungsi sebagai lesen memandu, dokumen perjalanan, atau permit pemastautin atau kerja. Mereka juga tidak memberi pemegang kekebalan dari undang-undang.
Kad UNHCR boleh disahkan oleh sesiapa sahaja yang mempunyai aplikasi mudah alih UNHCR Verify Plus, melalui langkah berikut:
- Cari dan muat turun “UNHCR Verify Plus” di Google Play Store atau Apple App Store
- Log masuk ke aplikasi menggunakan alamat e-mel anda
- Halakan kamera ke kod QR yang ada pada kad UNHCR di tangan (kod QR pada salinan imbasan atau salinan fotokopi kad UNHCR mungkin tidak dapat di imbas bergantung pada kualiti imbasan atau fotokopi)
- Sahkan jika maklumat yang dipaparkan dalam aplikasi sepadan dengan maklumat pada kad UNHCR
Menggunakan aplikasi Verify Plus ialah satu-satunya cara untuk mengesahkan dokumen UNHCR. UNHCR tidak dapat mengesahkan dokumen UNHCR seseorang individu satu per satu.