Kerjasama UNHCR-Kerajaan Malaysia mengenai Pemprosesan Pelarian

Jumaat / 04 Mac 2022

UNHCR dan kerajaan Malaysia telah lama berbincang untuk meneroka pilihan untuk menyokong kerajaan dalam pengurusan pelarian. Program perkongsian kapasiti ini dilaksanakan dengan perspektif jangka panjang untuk mewujudkan sistem suaka kerajaan. Dalam konteks ini, pegawai kerajaan dibiasakan dengan prinsip perlindungan dan undang-undang pelarian serta proses Pendaftaran UNHCR dan Penentuan Status Pelarian / Refugee Status Determination (RSD).

Dalam proses ini, UNHCR telah menjemput beberapa pegawai kerajaan ke pejabat UNHCR untuk memerhatikan temu bual dengan orang berkenaan UNHCR sebagai sebahagian daripada latihan.

UNHCR sedang bersiap sedia untuk pemerhatian secara peribadi ke atas beberapa temu duga Pendaftaran dan RSD, yang akan berlangsung pada 7-11 Mac 2022, dengan mengenal pasti dan memilih beberapa orang berkenaan UNHCR di kalangan semua warganegara, yang bersetuju dan telah memberikan persetujuan untuk pegawai kerajaan memerhati temu duga Pendaftaran dan RSD mereka. Mereka yang terpilih telah diberikan kaunseling dan diterangkan latar belakang aktiviti ini dan diberi peluang untuk memberi kebenaran atau tidak memberi kebenaran kepada pegawai kerajaan untuk memerhati temu bual mereka.

Pegawai kerajaan tidak akan mengendalikan temu duga Pendaftaran dan RSD sendiri dan tidak akan bertanya secara langsung kepada orang berkenaan. Selain itu, pegawai kerajaan tidak akan terlibat dalam membuat keputusan RSD. Seperti biasa, setiap orang yang terlibat dalam temu bual bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengekalkan kerahsiaan dalam semua proses.

Usaha ini adalah sebahagian proses penting untuk membolehkan kerajaan memahami prosedur UNHCR dengan lebih baik dan akhirnya menyokong dengan pengurusan situasi pelarian dan perlindungan pelarian di Malaysia. Ia juga akan membolehkan kakitangan kerajaan memahami dengan lebih terperinci tentang situasi pelarian dan mengapa mereka terpaksa meninggalkan negara mereka serta keperluan perlindungan pelarian di Malaysia dan di peringkat global.



Share