Soalan Lazim (FAQ) Penentuan Status Pelarian (RSD)

Soalan Am RSD

Apa itu RSD?

K
C

Penentuan Status Pelarian (RSD) ialah proses individu yang dijalankan untuk setiap orang yang memohon perlindungan pelarian antarabangsa. Tujuannya adalah untuk menilai mengapa seseorang itu takut untuk pulang ke negara asal. Semasa temu duga RSD, pemohon suaka akan ditanya tentang sejarah dan situasi peribadi mereka, dan kenapa mereka meninggalkan negara asal dan tidak mahu kembali. Berdasarkan maklumat yang dikongsikan semasa temu duga, serta maklumat situasi di negara asal, Unit RSD menilai kes individu dan menentukan sama ada orang itu adalah pelarian.

Siapa pelarian?

K
C

Seseorang itu dianggap sebagai pelarian jika mereka memenuhi kriteria berikut:

  • Di luar negara kewarganegaraan mereka atau kediaman lama; dan
  • Mempunyai rasa takut yang berasaskan penganiayaan atas sebab bangsa, agama, kewarganegaraan, keahlian kumpulan sosial tertentu atau pendapat politik; dan
  • Disebabkan ketakutan sedemikian, tidak mahu memanfaatkan perlindungan negara itu.
    atau
  • Tidak dapat pulang ke negara mereka kerana keganasan umum (seperti peperangan atau konflik) atau peristiwa serius lain yang mengganggu ketenteraman awam.

Orang yang memenuhi kriteria ini diiktiraf sebagai pelarian dan status undang-undang mereka direkodkan sebagai 'pelarian' dalam rekod UNHCR setelah selesai proses RSD. Sebelum proses RSD selesai, status individu direkodkan sebagai 'pemohon suaka'.

Prinsip non-refoulement terpakai kepada pemohon suaka dan pelarian, yang merujuk di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa bahawa seseorang mempunyai hak untuk tidak dihantar pulang ke negara di mana mereka akan menghadapi penyeksaan atau layanan atau hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau layanan yang menjatuhkan maruah.

Kedua-dua pelarian dan pemohon suaka mesti menghormati undang-undang dan peraturan negara di mana mereka berada. Jika pelarian atau pemohon suaka melakukan kesalahan jenayah, mereka tertakluk kepada proses undang-undang yang sewajarnya, sama seperti orang lain di negara ini.

Pelarian bukan pendatang. Migran ialah orang yang meninggalkan negara mereka secara sukarela untuk menetap di tempat lain, contoh. untuk kerja, pendidikan atau sebab peribadi lain. Jika seseorang meninggalkan negara mereka hanya atas sebab-sebab ini, mereka adalah seorang migran, bukan seorang pelarian.

Temujanji RSD

Bagaimanakah saya boleh mendapatkan temu janji untuk temu duga RSD? Saya telah didaftarkan beberapa tahun lalu dan saya masih belum dijadualkan untuk temu duga RSD.

K
C

Oleh sebab jumlah permohonan yang tinggi daripada pemohon suaka, Unit RSD mengutamakan permohonan yang mempunyai risiko, keperluan khusus dan mempunyai risiko perlindungan yang lebih besar, termasuk mereka yang ditahan dan berisiko untuk dihantar pulang secara paksa ke negara asal mereka. Pemohon suaka yang tidak mempunyai sebarang risiko perlindungan atau keperluan khusus perlu menunggu lebih lama sebelum dipanggil untuk temu duga RSD. Temu duga RSD tidak dijadualkan berdasarkan tarikh pendaftaran dengan UNHCR Malaysia, negara asal, agama atau etnik. Apabila anda dijadualkan untuk temu duga RSD, pegawai UNHCR dari Unit RSD akan menghubungi anda melalui telefon, mesej teks (SMS) atau e-mel untuk memberitahu anda tentang tarikh dan masa temu duga. Sila pastikan butiran peribadi anda sentiasa dikemas kini di laman web kami supaya kami boleh menghubungi anda. Sila jangan datang ke Reception Centre UNHCR jika anda tidak mempunyai temu janji. Anda tidak akan dibenarkan masuk tanpa temu janji.

Apa yang perlu saya sediakan sebelum temu duga RSD yang telah dijadualkan?

K
C

Tiada apa-apa yang perlu anda sediakan secara khusus untuk temu duga RSD anda. Penemuduga RSD akan menerangkan proses dan membimbing anda melalui temu duga. Sila datang ke Reception Centre UNHCR sekurang-kurangnya 30 minit sebelum temu duga RSD anda. Jika anda tiba lewat, UNHCR mungkin tidak dapat menemu duga anda pada hari tersebut. Jika anda mempunyai wakil undang-undang, sila maklumkan kepada mereka tentang temu duga RSD anda. Anda perlu membawa semua ahli keluarga yang berdaftar dan dalam fail UNHCR yang sama dengan anda, contohnya pasangan dan anak-anak anda. Anda juga harus membawa bersama apa-apa dokumen (termasuk dokumen UNHCR anda) atau bukti dan kertas lain yang anda fikir mungkin relevan untuk kes anda. Di Reception Centre UNHCR, anda mungkin perlu menunggu sebelum di panggil untuk temu duga anda. Jadi anda mungkin juga ingin membawa sedikit makanan dan air, tetapi sila buang sampah ke dalam tong sampah yang tersedia. Sila pastikan anda sihat sebelum datang ke Reception Centre UNHCR. Jika anda berasa tidak sihat atau demam, sila jangan datang ke UNHCR. Anda boleh menghubungi atau menghantar mesej kepada kakitangan RSD yang menghubungi anda untuk temu duga RSD dan memberitahu mereka anda tidak dapat hadir dan ingin menjadualkan semula temu duga ke tarikh lain.

Apakah temu bual RSD secara jarak jauh?

K
C

UNHCR Malaysia hanya menjalankan temu duga RSD jarak jauh (online) hanya atas sebab-sebab tertentu bergantung pada keadaan sesuatu kes, ketersediaan keperluan teknologi yang diperlukan, dan atas persetujuan orang yang ditemu duga. Temu duga online RSD dijalankan menggunakan telefon mudah alih dan platform seperti Microsoft Teams atau Signal. Orang yang ditemu duga perlu memuat turun aplikasi yang diperlukan sebelum temu duga, mempunyai telefon yang telah dicas penuh, sambungan internet yang stabil, dan bersedia untuk menjawab panggilan di Microsoft Teams atau Signal pada tarikh dan masa yang ditetapkan. Orang yang ditemu duga perlu berada di ruang yang telah disediakan sepanjang tempoh temu duga. Ahli keluarga yang berdaftar dalam fail yang sama juga perlu ditemu duga. Penjelasan yang lebih lanjut akan diberikan semasa menjadualkan temu duga secara atas talian.

Apa yang akan ditanya semasa temuduga RSD?

K
C

Anda akan ditanya pelbagai jenis soalan, termasuk tentang identiti anda, sejarah peribadi dan keluarga, serta sebab anda meninggalkan negara anda dan memohon suaka di Malaysia. Proses temu duga boleh mengambil masa beberapa jam untuk mengumpul semua maklumat yang diperlukan untuk membuat keputusan kes anda dan anda boleh meminta masa rehat ketika temu duga anda. Jika anda tidak faham soalan yang di tanya, penemuduga boleh memberi penjelasan.

Ahli komuniti memberitahu saya bahawa jika saya berkongsi perkara tertentu semasa temu duga, saya mempunyai peluang yang lebih baik untuk diiktiraf sebagai pelarian. Saya bimbang kes saya lemah.

K
C

Sangat penting untuk anda berterus terang tentang profil dan pengalaman anda, dan memberi kerjasama semasa temu duga. Jika didapati anda mengelirukan UNHCR, ia mungkin menjejaskan kes RSD anda secara negatif.

Saya bimbang untuk berkongsi semua butiran kes saya. Bagaimana jika pihak berkuasa negara saya atau orang yang saya kenali di negara saya mendapat tahu?

K
C

Semua maklumat yang anda kongsikan adalah rahsia dan tidak akan dikongsi dengan mana-mana pihak ketiga di luar UNHCR tanpa persetujuan anda. Maklumat kes anda tidak akan dikongsi dengan pihak berkuasa negara asal anda. Jika UNHCR perlu berkongsi maklumat anda dengan pihak ketiga, kami perlu mendapatkan kebenaran anda terlebih dahulu. Semua maklumat dan dokumen akan disimpan dengan selamat dalam sistem UNHCR.

Adakah ahli keluarga dalam fail saya juga akan ditemu duga?

K
C

Semua individu yang didaftarkan dalam fail anda, dewasa dan kanak-kanak, perlu hadir pada hari temu duga RSD anda. Ahli keluarga lain yang didaftarkan dalam fail anda mungkin perlu ditemu duga secara berasingan. Mereka juga mempunyai hak untuk memohon suaka dan didengari.

Apakah hak dan kewajipan saya semasa proses temu duga RSD?

K
C

Adalah menjadi hak anda untuk ditemu duga dalam bahasa pilihan anda. Jika anda rasa ada masalah komunikasi dengan jurubahasa, anda boleh meminta pertukaran jurubahasa pada bila-bila masa semasa proses RSD. Adalah penting untuk anda mempunyai jurubahasa yang sesuai dengan keperluan anda untuk memastikan ketepatan maklumat. Peranan jurubahasa semasa temu duga RSD hanyalah untuk mentafsir soalan yang ditanya oleh penemuduga RSD dan jawapan yang anda berikan. Jurubahasa perlu bersikap neutral dan tidak memainkan peranan langsung dalam keputusan kes anda. Anda mempunyai hak untuk kerahsiaan, untuk meminta akses, membetulkan atau memadam data peribadi, dan untuk membantah pemprosesan data peribadi anda. Anda mempunyai hak untuk meminta penemuduga menjelaskan sebarang proses dan meminta rehat semasa temu duga. Jika anda tidak sihat untuk meneruskan temu duga, atau jika anda mempunyai isu perubatan yang anda fikir UNHCR perlu tahu, sila beritahu penemuduga RSD.

Anda bertanggungjawab untuk berlaku jujur, dan bekerjasama dengan penemuduga RSD semasa temu duga RSD. Temu duga akan dirakam dan transkrip bertulis kesemua soalan dan jawapan akan diambil, namun atas sebab perlindungan data dan keselamatan kakitangan UNHCR, anda tidak boleh merakam sebarang temu duga atau interaksi dengan UNHCR.

Apa yang perlu dilakukan jika saya ingin menukar penemuduga atau jurubahasa saya?

K
C

Anda ada hak untuk meminta penemuduga RSD atau penterjemah berlainan jantina, jika anda rasa lebih selesa. Ini tidak akan menjejaskan kes anda dalam apa cara sekalipun. Anda tidak mempunyai hak untuk meminta penemuduga RSD yang berlainan kewarganegaraan, agama atau etnik. Semua kakitangan UNHCR mematuhi prinsip berkecuali, dan profil mereka tidak akan mempengaruhi keupayaan melaksanakan tugas mereka. Jika terdapat sebab khusus mengapa anda tidak mahu ditemu duga oleh penemuduga RSD tertentu, sila maklumkan kepada penemuduga RSD yang anda tidak mahu meneruskan temu duga dan ingin mereka memaklumkan perkara ini kepada pengurus mereka. Pengurus RSD akan mempertimbangkan perkara itu, tetapi tiada jaminan permintaan anda akan diterima jika tiada sebab luar biasa untuk menukar penemuduga anda.

Selepas Temu duga RSD

Bagaimana jika saya ingin menghantar lebih banyak dokumen selepas temu duga saya?

K
C

Sila bawa semua dokumen asal bersama ke temu duga anda. Walau bagaimanapun, jika anda perlu berkongsi sebarang maklumat atau dokumen lain dengan Unit RSD selepas temu duga, sila hantar e-mel kepada Unit RSD di mlslursd@unhcr.org dan sertakan salinan atau gambar dokumen tersebut. Sila tulis nombor kes, nama dan nombor telefon anda dalam e-mel.

Saya telah menjalani temuduga RSD saya. Berapa lama saya perlu menunggu keputusan temu duga?

K
C

Itu bergantung pada butiran kes anda. Setiap kes dipertimbangkan secara individu. Unit RSD cuba sedaya upaya untuk memberi keputusan RSD dalam tempoh 3 bulan selepas temu duga RSD, tetapi ini biasanya tidak dapat dicapai. Anda mungkin akan dipanggil untuk temu duga lain jika maklumat lanjut diperlukan untuk memutuskan kes anda. Kami amat hargai kesabaran anda. Adalah penting untuk anda beritahu UNHCR tentang perubahan pada nombor telefon, e-mel, alamat atau maklumat hubungan anda yang lain Klik di sini untuk kemas kini maklumat peribadi anda.

Bagaimana saya akan menerima keputusan RSD saya?

K
C

Selepas temu duga, kes anda akan disemak oleh UNHCR, keputusan akan dibuat, dan anda akan dihubungi melalui telefon untuk memberitahu anda tentang keputusan itu. Jika permohonan anda berjaya, anda akan diiktiraf sebagai pelarian. Jika permohonan anda tidak berjaya, anda berhak untuk membuat rayuan.

Rayuan dan Prosedur Pembukaan Semula

Apakah yang berlaku jika saya mendapat keputusan RSD negatif pada peringkat pertama?

K
C

Jika permohonan anda tidak berjaya, sebab-sebab keputusan akan diterangkan dan anda juga akan menerima surat yang menerangkan keputusan tersebut. Anda mempunyai hak untuk membuat rayuan dalam masa 60 hari selepas dimaklumkan tentang keputusan negatif anda, dan kakitangan RSD akan menerangkan proses rayuan. Anda perlu menghantar permohonan rayuan melalui e-mel ke mlslursd@unhcr.org. Anda mesti menulis "Permintaan Rayuan" dalam subjek e-mel dan sertakan nama anda, nombor fail UNHCR dan nombor telefon yang terbaru dalam e-mel tersebut. Jika anda tidak membuat permohonan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan dan anda tidak mempunyai sebab kukuh atas kegagalan mengemukakan rayuan sebelum tarikh akhir, fail anda akan ditutup.

Apakah yang boleh saya harapkan selepas saya menghantar permohonan rayuan?

K
C

Ini bergantung pada keadaan kes anda dan sebab yang anda sertakan dalam permohonan rayuan anda. Tidak semua orang yang mengemukakan permohonan rayuan akan dipanggil untuk temu duga lain. Keputusan mungkin dibuat berdasarkan maklumat yang tersedia dalam fail dan permohonan rayuan anda. Jika anda mempunyai isu atau bukti baru yang ingin anda kongsikan dalam permohonan rayuan, anda boleh berbuat demikian. Anda juga boleh berkongsi sebarang isu yang berkaitan dengan tafsiran atau cara penemuduga RSD mengendalikan kes anda. Semasa proses rayuan, kes anda akan diproses dan disemak oleh kakitangan yang berbeza daripada mereka yang terlibat dalam keputusan kes pertama. Selepas kes anda disemak pada peringkat rayuan, anda mungkin menerima keputusan positif atau negatif. Jika anda ditolak pada peringkat rayuan, fail UNHCR anda akan ditutup. Anda tidak boleh lagi merayu keputusan RSD ini kerana ia adalah muktamad. Anda tidak lagi akan diberikan sebarang dokumen UNHCR.

Saya dimaklumkan bahawa fail saya dengan UNHCR telah ditutup. Mengapa UNHCR menutup fail saya?

K
C

Terdapat beberapa sebab mengapa fail anda ditutup:

  • Kes RSD anda telah ditolak pada peringkat Rayuan.
  • Anda tidak membuat permohonan rayuan dalam tempoh 60 hari selepas dimaklumkan keputusan negatif pertama anda.
  • Anda meninggalkan Malaysia, sama ada untuk pulang ke negara asal atau pergi ke negara lain.
  • Anda tidak dapat dihubungi untuk temujanji, atau anda tidak menghadiri temujanji yang dijadualkan dan seterusnya tidak dapat dihubungi atau tidak dapat memberikan penjelasan yang memuaskan.

Bagaimanakah saya boleh membuka semula fail saya dengan UNHCR selepas ia ditutup dan bagaimana saya boleh mendapatkan dokumen UNHCR baharu?

K
C

Anda boleh menulis e-mel untuk permohonan pembukaan semula fail anda ke e-mel unit RSD mlslursd@unhcr.org dalam bahasa pilihan anda. Anda mesti menulis "Permintaan Pembukaan Semula" dalam subjek e-mel dan masukkan nama, nombor fail UNHCR dan nombor telefon yang terbaru dalam e-mel anda.

Jika fail anda ditutup selepas anda terlepas janji temu RSD:
Anda perlu memberitahu sebab anda mahu fail anda dibuka semula dan mengapa anda terlepas janji temu RSD. Unit RSD akan menyemak permohonan pembukaan semula dan menilai sama ada anda telah memberikan penjelasan yang cukup kenapa anda terlepas temu duga anda. Jika Unit RSD memutuskan untuk membuka semula fail, anda mungkin akan dihubungi dengan maklumat temu duga RSD baharu, jika perlu, dan proses-proses seterusnya.

Jika fail anda ditutup kerana anda tidak menghantar permohonan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan selepas diberitahu tentang keputusan RSD negatif pertama anda :
Anda mesti menerangkan sebab anda tidak menyerahkan permohonan rayuan dalam tempoh tarikh akhir. Unit RSD akan menyemak permohonan dan menilai sama ada anda telah memberikan penjelasan yang memuaskan sebab kenapa anda tidak mengemukakan permohonan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan.

Jika fail ditutup kerana kes anda ditolak pada peringkat rayuan:
Jika kes anda ditolak pada peringkat rayuan dan fail anda ditutup, anda tidak lagi dianggap sebagai orang berkenaan UNHCR. Kes RSD anda telah dinilai secara terperinci dan anda bukanlah pelarian. Anda perlu membuat keputusan sendiri berkenaan status anda di Malaysia supaya anda tidak berada di negara ini secara haram, atau mempertimbangkan pilihan lain yang anda. Jika anda ingin pulang ke negara anda, klik di sini untuk mendapatkan maklumat mengenai Kepulangan Secara Sukarela.

Anda boleh memohon pembukaan semula fail jika kes RSD anda ditolak pada peringkat rayuan, namun Unit RSD mungkin mengambil masa yang lama untuk menyemak permohonan pembukaan semula dan tiada jaminan bahawa fail anda akan dibuka semula. Fail hanya akan dibuka semula selepas penolakan terakhir di peringkat rayuan jika:

  1. Terdapat perubahan ketara keadaan di negara asal yang mungkin menjejaskan kelayakan untuk status pelarian anda,
  2. Terdapat perubahan besar keadaan peribadi yang mungkin menjejaskan kelayakan untuk status pelarian anda, atau
  3. Terdapat maklumat baharu yang kukuh menunjukkan bahawa kes anda telah diputuskan secara tidak wajar dan/atau alasan kelayakan untuk status pelarian tidak diperiksa atau ditangani dengan secukupnya.

Soalan Lain Berkaitan RSD

Saya diiktiraf sebagai pelarian oleh UNHCR di negara lain. Apakah status saya di Malaysia?

K
C

Apabila seseorang telah diiktiraf sebagai pelarian oleh UNHCR di negara lain, UNHCR Malaysia perlu mengesahkan maklumat tersebut dengan pejabat UNHCR yang terlibat sebelum kami boleh mengesahkan status pelarian anda. Ini boleh mengambil sedikit masa. Lebih banyak maklumat dan dokumen tentang fail anda dengan pejabat UNHCR yang lain, yang anda kongsikan dengan UNHCR lebih cepat prosesnya. Sebaik sahaja kami menerima pengesahan status anda daripada pejabat UNHCR yang lain, kami mungkin masih perlu menemuduga anda untuk mendapatkan maklumat tambahan dan menilai sama ada status pelarian anda boleh disahkan.

Di mana saya boleh mendapatkan nasihat dan perwakilan undang-undang?

K
C
Anda mempunyai hak untuk menggunakan perkhidmatan wakil undang-undang yang berkelayakan.

Asylum Access Malaysia (AAM) ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan bantuan undang-undang dan perwakilan untuk prosedur RSD. Ia adalah badan bebas dari UNHCR dan Kerajaan Malaysia, dan semua perkhidmatan adalah percuma. Untuk maklumat lanjut :

Laman web: Asylum Access Malaysia
Telefon: +603 2201 5438 (talian tetap) or +6012 224 5439 (anda juga boleh menghantar mesej melalui Signal ke nombor ini)
E-mel: legal.aam@asylumaccess.org

Sila ambil perhatian bahawa AAM mempunyai keupayaan yang terhad dan mungkin tidak dapat membantu setiap orang yang memohon perkhidmatan. AAM tidak dibuka untuk walk-in buat masa ini. Sila hubungi AAM melalui telefon atau e-mel untuk temu janji.

Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam Malaysia menjalankan Klinik Migran dan Pelarian untuk menyediakan nasihat guaman percuma, perwakilan dan bantuan kepada pelarian dan pekerja migran.

Website: Majlis Peguam Malaysia

Saya ingin menambah ahli keluarga baharu pada fail UNHCR saya. Mereka belum berdaftar dengan UNHCR. Apa yang perlu saya lakukan?

K
C

Sila klik di sini untuk membuat permohonan menambah ahli keluarga baru ke dalam fail anda.

Saya mempunyai soalan lain yang tidak dijawab di halaman ini. Bagaimanakah UNHCR boleh membantu saya?

K
C

Jika anda mempunyai sebarang isu atau masalah tertentu yang ingin diberitahu kepada UNHCR, boleh klik bahagian Hubungi Kami di laman web kami, dan jabatan UNHCR yang berkaitan boleh menghubungi anda.

Jika anda ada masalah serius dengan polis atau pihak berkuasa di Malaysia, anda boleh hubungi Talian Tangkapan dan Tahanan: +6012 630 5060, yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 8:00 pagi hingga 6:00 petang, dan Sabtu hingga Ahad dari 8:00 pagi hingga 4:00 petang dalam bahasa Inggeris dan Melayu. Atau klik di sini untuk membuat laporan penangkapan dan penahanan di laman web kami.

Klik di sini untuk maklumat tentang pendaftaran dengan UNHCR
Klik di sini untuk maklumat mengenai perkhidmatan Kesihatan
Klik di sini untuk mendapatkan maklumat tentang perkhidmatan untuk Mangsa Keganasan Berasaskan Jantina (GBV)
Klik di sini untuk maklumat mengenai perkhidmatan Perlindungan Kanak-kanak
Klik di sini untuk maklumat tentang perkhidmatan Pendidikan, atau di sini untuk pertanyaan Pendidikan

Semua perkhidmatan UNHCR adalah percuma!

Buat laporan melalui mana-mana saluran ini jika anda telah diminta membayar untuk apa-apa perkhidmatan UNHCR:

Pasukan Risiko, Intergriti dan Pemantauan UNHCR Malaysia: mlslufrd@unhcr.org
Anda juga boleh klik di sini untuk membuat aduan dalam talian tentang penipuan dan rasuah

Pejabat Inspektor General UNHCR (IGO): inspector@unhcr.org

Semua aduan akan dilayan secara sulit.

Jika saya membayar wang, bolehkah saya mendapat temu duga RSD dengan UNHCR?

K
C

Tidak, anda tidak boleh. Sila ingat bahawa semua perkhidmatan yang disediakan oleh UNHCR dan rakan kongsi kami adalah percuma. Jangan percaya kepada sesiapa atau mana-mana organisasi yang meminta wang dibayar untuk perkhidmatan UNHCR atau rakan kongsinya. Mereka berbohong kepada anda. Anda akan kehilangan duit anda dan tidak akan dapat temujanji temu duga. Orang yang menipu seperti itu cuba mengambil kesempatan atas keadaan anda. Jauhi mereka. Mereka mungkin menunjukkan maklumat untuk meyakinkan anda bahawa mereka ada hubungan dengan UNHCR. Tolong jangan percaya mereka.

Jika anda telah didekati oleh orang yang mendakwa mereka boleh membantu kes anda dengan UNHCR, sila beritahu UNHCR dengan segera.