Mendaftar dengan UNHCR

Langkap pertama dalam proses suaka adalah pendaftaran. Pendaftaran adalah proses di mana maklumat tentang orang berkenaan UNHCR direkod, disemak dan dikemas kini.

Untuk memohon pendaftaran, sila hantar permohonan anda secara dalam talian menggunakan borang Permohonan Pendaftaran Baru di laman web Refugee Malaysia.

Selepas menghantar permohonan, anda perlu tunggu panggilan daripada UNHCR untuk menentukan tarikh temujanji anda. Semua permohonan yang dihantar akan diproses oleh UNHCR tetapi akibat bilangan permohonan yang tinggi, UNHCR tidak mampu untuk memberi maklum balas secepat mungkin. Jika anda sudah menghantar satu permohonan untuk temujanji, tolong jangan hantar permohonan yang baru.

Temujanji Dengan UNHCR

Apabila anda sudah dihubungi oleh UNHCR Malaysia tentang tarikh temujanji, anda boleh bersiap sedia untuk temujanji anda. Semua individu yang memohon suaka (termasuk ahli keluarga dan/atau tanggungan yang lain) perlu hadir ketika temujanji untuk pendaftaran. Apabila mendaftar, anda perlu pastikan yang anda memberikan maklumat yang betul, jujur dan lengkap. Maklumat yang tidak lengkap atau salah boleh membawa kesan buruk kepada kes anda.

Pastikan anda memberi maklumat tentang semua ahli keluarga anda termasuk yang berada di Malaysia ataupun di mana-mana di luar Malaysia. Individu yang menjadi anak angkat secara sah ataupun mengikut adat juga perlu disenaraikan sebagai ahli keluarga. Ahli keluarga lain yang perlu disenaraikan juga adalah ibubapa (kandung dan/atau angkat), adik-beradik (kandung, tiri, angkat), anak-anak (kandung, angkat, tiri dan anak-anak daripada perkahwinan atau hubungan lama). Setiap individu yang berdaftar akan menerima nombor fail. Semua komunikasi seterusnya dengan pejabat UNHCR haruslah disertakan dengan nombor fail.

Apabila anda sudah didaftar, anda akan diberi kad UNHCR ataupun surat Under Consideration (UC) yang disertakan dengan tempoh sah laku dokumen tersebut. Sila pergi ke UNHCR untuk pembaharuan kad UNHCR atau surat Under Consideration (UC) anda pada tarikh luput yang tertera.

Waktu COVID-19: Sila tunggu UNHCR untuk hubungi anda bagi proses pembaharuan dokumen. Jangan pergi ke pejabat UNHCR tanpa temujanji.

Dokumen-dokumen Yang Diperlukan

Sila bawa sekali dokumen-dokumen yang relevan untuk kes anda, seperti pasport, dokumen identiti, sijil kahwin, sijil kelahiran, banci keluarga ataupun dokumen identiti nasional, salinan buku perkhidmatan tentera, sijil perubatan, bukti pendaftaran lama di pejabat UNHCR yang lain, pejabat UNRWA ataupun kerajaan asing.

Waktu temujanji anda, sila bawa semua dokumen yang pernah diberi oleh UNHCR seperti kad identiti, surat Under Consideration (UC) surat temujanji (appointment card), dan surat rujukan. Semua dokumen yang diberi oleh mana-mana pejabat UNHCR di luar Malaysia juga perlu dibawa.

Mendaftarkan Anak Anda

Jika anda baru melahirkan bayi, anda perlu mendaftarkan anak anda dan mendapatkan sijil kelahiran mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Tiada bayaran dikenakan jika anda mendaftarkan bayi anda di JPN dalam tempoh 60 hari selepas bayi dilahirkan. Selepas 60 hari, anda akan dikenakan bayaran untuk pendaftaran lewat.

Dokumen UNHCR

Individu yang didaftar melalui proses UNHCR kerana memerlukan pelindungan antarabangsa akan diberi dokumen UNHCR yang menyatakan pemegang dokumen ini berada di bawah pelindungan UNHCR.

Dokumen identiti UNHCR memberikan pelindungan yang boleh mengurangkan risiko anda ditahan, dan memberikan akses terhad kepada khidmat kesihatan, pendidikan dan khidmat bantuan yang lain daripada UNHCR, rakan kongsi UNHCR dan pihak-pihak lain.

Dokumen UNHCR adalah dokumen identiti yang mengiktiraf anda sebagai individu yang berada di bawah pelindungan UNHCR. Namun, ia tiada nilai undang-undang formal di Malaysia dan ianya juga bukan pasport.