UNHCR telah menerima laporan tentang penipuan penggunaan dokumen UNHCR di kalangan pelarian dan pemohon suaka. Ini termasuk individu yang :
- Menggunakan kad UNHCR orang lain sebagai milik mereka
- Menggantikan gambar pada kad UNHCR orang lain dengan gambar mereka sendiri atau
- Menggunakan kad UNHCR palsu
Harap maklum bahawa ini adalah aktiviti penipuan. Menggunakan, membeli atau menjual kad UNHCR palsu, atau menggunakan atau mengubah kad UNHCR orang lain sebagai milik anda, adalah dilarang sama sekali dan boleh menyebabkan anda ditangkap. Ia akan merumitkan proses pengesahan UNHCR dengan pihak berkuasa dan melambatkan kes anda dengan UNHCR kerana anda akan disiasat kerana penipuan.
Walaupun kes anda telah ditutup oleh UNHCR dan anda ditangkap oleh pihak berkuasa, anda mesti memberikan nombor kad UNHCR anda sendiri untuk tujuan pengesahan.
Jika anda mengetahui sesiapa yang menggunakan, menghasilkan atau menjual kad UNHCR palsu atau kad UNHCR milik orang lain, sila laporkan melalui e-mel kepada mlslufrd@unhcr.org atau melalui Borang Aduan Dalam Talian / Online Complaint Form yang tersedia di sini. Membuat laporan tentang penipuan tidak akan melambatkan kes anda dengan UNHCR atau menyebabkan anda disiasat kerana penipuan. Semua laporan mengenai penipuan yang diterima oleh UNHCR adalah sulit dan tidak akan didedahkan kepada orang lain tanpa kebenaran anda. Sila rujuk video penjelasan yang terdapat di YouTube dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Arab, Burma, Hakha, Jingpo, Mon, Farsi, Rohingya, Somali, Tamil, Tedim, dan Urdu. Poster dalam pelbagai bahasa boleh didapati di sini.
UNHCR Malaysia tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk penipuan dan rasuah. Pasukan Risiko, Integriti dan Pengawasan / Risk, Integrity and Oversight Team (RIOT) UNHCR Malaysia menggalakkan sesiapa sahaja yang membuat dakwaan berkaitan penipuan dan rasuah untuk berkongsi sebanyak mungkin maklumat dan bukti.
Sila ingat bahawa semua perkhidmatan UNHCR adalah percuma. Anda tidak boleh bayar untuk mendapatkan perkhidmatan, atau layanan lebih cepat, daripada UNHCR. Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Penipuan dan Rasuah, sila lawati halaman ini.
Bagi individu yang sebelum ini berdaftar dengan UNHCR tetapi fail mereka telah ditutup pada masa ini, anda boleh memohon untuk pembukaan semula fail anda kepada Unit Penentuan Status Pelarian / Refugee Status Determination (RSD) melalui e-mel (mlslursd@unhcr.org) Disebabkan bilangan permintaan pembukaan semula yang dihantar kepada Unit RSD adalah tinggi, sila jangkakan kelewatan dalam pemprosesan permintaan pembukaan semula. Individu yang mempunyai kelemahan serius dan/atau memerlukan perlindungan segera dan kecemasan mungkin diutamakan. Butiran lanjut mengenai proses pembukaan semula boleh didapati di sini.